>ikatan UKHUWWAH bukanlah sesuatu yang dapat dibeli dengan harta > Tetapi ia merupakan roh yang dihidupkan ALLAH dalam hati-hati orang yang beriman > apabila DIA mengkehendakinya agar mereka dekat dan bersatu>

SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN KUMPULAN NASYID UKHUWWAHFILLAH

Pada tahun 2002, suasana nasyid di Universiti Malaysia Sabah tidak berapa menonjol bagi masyarakat kampus. Atas dasar kesedaran ingin berdakwah maka salah seorang anggota kumpulan nasyid UkhuwwahFillah yang terawal iaitu saudara Bunyamin telah membentuk kumpulan yang terdiri daripada 8 orang dengan senior UMS.

Pada masa tersebut pengaruh kumpulan Inteam amat kuat kepada mahasiswa di universiti. Banyak pertandingan yang telah diikuti di peringkat kampus dan kumpulan nasyid kami pernah menjadi naib johan dalam pertandingan nasyid sempena pesta konvokesyen UMS ke-4. Namun ahli kumpulan ini tidak kekal kerana ada yang menjadi graduan awal.

Sehinggalah pada tahun 2005 ahli kumpulan bertukar orang dengan kemasukan junior baru dalam UMS. Semangat yang kuat untuk menubuhkan kumpulan nasyid dengan matlamat yang sama iaitu dakwah membolehkan kumpulan kami kekal hingga ke hari ini dengan anggota seramai 5 orang.


Profil Ahli Kumpulan

1. Nama : Mohd Ijhad Bin Duddin

Asal : Sandakan, Sabah

Umur : 24 Tahun

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Dengan Sastera (Ekonomi), UMS

2. Nama : Mohd Salleh Bin Ambo

Asal : Lahad Datu, Sabah

Umur : 22 Tahun

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Dengan Sains (Matematik), UMS

3. Nama : Bunyamin Bin Bakri

Asal : Sandakan, Sabah

Umur : 26 Tahun

Pendidikan : Ijazah Sarjana (Kualiti Air Sungai), UMS

4. Nama : Muhammad Amirul Ariffuddin Bin Zailani

Asal : Bangi, Selangor

Umur : 23 Tahun

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda (Fizik Elektronik), UMS

5. Nama : Mohd Zhafran Bin Mohd Zainuldin

Asal : Tanjung Karang, Selangor

Umur : 23 Tahun

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda (Bioteknologi), UMS


Alhamdulillah, dengan keazaman yang kuat kumpulan kami telah menjadi Johan dalam Pertandingan Nasyid sempena pesta konvokesyen UMS kali ke-6 dan naib Johan pada pesta Konvokesyen kali ke-7.

Peluang untuk menyampaikan lagu-lagu nasyid terus terbuka kepada masyarakat kampus apabila kumpulan kami pernah dijemput untuk membuat persembahan dalam majlis-majlis rasmi universiti seperti Forum Perdana Ehwal Islam, sambutan Hari Raya, Pertandingan Debat, Festival Kesenian Islam, Sambutan Maal hijrah, Pesta Tamu Gadang sempena Majlis Konvokesyen, Jamuan Perpisahan Kolej Kediaman dan beberapa majlis di peringkat sekolah serta NGO.

Kebanyakkan lagu yang kami persembahkan adalah lagu-lagu daripada kumpulan inteam sendiri kerana mengambil kira suasana kampus yang terdiri daripada kalangan remaja dan dewasa. Pengalaman paling manis apabila kami diberi peluang untuk membuat persembahan bersama Abang Nazrey Raihan dalam konsert Mutiara kasih di UMS dan beberapa daerah di Sabah seperti Kota Merudu, Beufort dan Penampang.

Sedikit tunjuk ajar daripada Abang Nazrey Raihan menaikkan lagi semangat kami untuk cuba membuat album sendiri kerana tidak mahu terus bergantung dengan lagu-lagu kumpulan nasyid yang sedia ada dengan harapan membawa suasana baru di negeri Sabah khususnya dalam berhibur. Ukhuwwah Fillah terus mara ke hadapan apabila diberi kepercayaan berganding dengan artis nasyid seperti Suhaimi dan Devotees di Festival Kesenian Islam UMS 2008.

Saturday, April 12, 2008

Yang Menarik Kasihmu?

Wajah yang cantik, kemas dan indah, mampu menawan hati seseorang.

indah

Melalui kemerduan suara mampu menangkap minat dan cinta seseorang.

Budi bahasa dan pekerti baik, mampu meraih perhatian dan kasih seseorang.

Ringan tulang, banyak membantu serta sering ambil berat terhadap masalah orang lain, sering menjadi benih sehingga tanpa sedar ia mengikat jiwa mereka yang dibantunya.

Walaupun belum benar-benar mengenali individu yang punyai sifat tadi. Jiwa pasti akan tertarik sedikit demi sedikit. Jika benar cara pembawakannya, ia membawa kepada yang lebih baik, demikian juga sebaliknya.

Para ahli musik sama ada nasyid dan lagu dengan mudah punyai pengikut, peminat fanatiknya. Semuanya penangan suaranya, wajahnya dan mungkin semakin mendalam apabila mengenali budi pekerti dirinya.

Sami Yusuf

Mendengar nasyid zikir yang dipersembahkan oleh Sami Yusuf bertajuk "Asma Allah" dalam album terbaru beliau ini boleh menyentuh banyak jiwa. Saya kira ramai yang boleh tertarik dengan persembahannya, suaranya, kandungan zikirnya. Ramai juga yang boleh jatuh kasih tanpa sengaja kepadanya hanya kerana persembahan ini.

Namun, Sami Yusuf dengan suaranya, beserta individu-individu yang dianugerahkan Allah swt untuk memiliki minda yang kreatif dalam karangannya, miliki wajah tampan, kacak, cantik, pemilik bahasa sastera indah dengan olahan bijak serta menusuk jiwa, individu bepekerti baik, penyantun, individu yang ringan tulang membantu orang lain serta lain-lain kelebihan. Semua mereka menjadi sumber kasih seseorang.

Sesudah terpautnya hati, seseorang mampu berbuat pelbagai benda pelik demi untuk yang dikasihinya. Sebagaimana insan bercinta sesama insan, yang malam tidak dirasa, perkara berat terasa ringan, beban dirasa nikmat dan sebagainya.

indah ciptaan Allah

Kitakah ?

Sedarkah kita bahawa semua itu hanyalah secebis zarah dari keindahan Allah swt, tuan punya dan pemilik kepada segala sesuatu.

Imam Abu Hamid Al-Ghazzali ketika mengulas bab cinta Allah dan Rasul di dalam kitabnya 'Ihya Ulumiddin' menegaskan.. faktor-faktor biasa yang disebutkan di atas menjadikan manusia jatuh hati, kasih dan cinta kepada manusia lain, hingga adakalanya mencapai tahap fanatik.

Namun bagaimanakah kita terlupa bahawa Allah mempunyai segala sesuatu sebab musababb untuk manusia jatuh kasih kepadanya, malangnya kita sering terhalang dek kelebihan manusia. Mari kita sama-sama teliti nama-nama Allah yang dinasyidkan oleh Sami Yusuf ini, sebahagian nama-nama ini mewakili sifat-sifatNya.

Jika cantik dan indah menjadi puncanya, maka Allah adalah yang terindah..keindahannya terzahir dari makhluknya.

Jika banyak membantu menjadi sebabnya, Ya Allah maha membantu...udara yang disediakan, matahari yang memancar, alam yang penuh dengan rezeki serta nikmatnya. Ya Allah tidak terkira nikmatNya...

indah dan meruntun jiwa?

Tumbuh-tumbuhan dan air ..

Daun dan titisan air

Ya Allah kurnianMu,

limau

Demikian juga Rasulullah SAW yang menjalankan tugasnya sebagai pesuruh Allah swt. Bertungkus lumus membantu kita agar terselamat di alam barzakh dan akhirat kita. Tidak terhutang budikah kita dengan kesungguhannya.?

Allah dan s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w, paling layak menerima kasih dan cinta kita. Namun kelemahan kita sering gagal memujuk hati ini untuk jatuh kasih kepadaNya, akibat dihalang oleh tembok besar dunia, tembok besi kejahilan, tembok penipuan yang dipasang Syaitan.

Ya Allah Ya Tuhan, bantulah kami kasih kepadamu, dan segala amalan yang boleh membawa kami kasih kepadaMu dan peroleh kasihMu, dan hampir dengan manusia yang boleh membawa kami kasih kepadaMu.

Firman Allah s.w.t :-

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Ertinya : Katakanlah: ""Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya."" Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik" ( At-Tawbat : 24 )

Ya Allah "ultuf bina" ( be gentle with us)..o forgiver ..forgive our sins...

Coretan tazkirah ringkas untuk diri dan pembaca web saya. Moga kita dirahmati Allah.

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Friday, April 11, 2008

MENJIWAI PEMBERONTAKAN DI DALAM NASYID

studio-gemilang.jpg

“Ada ke latihan nasyid hujung minggu ni?”, saya bertanya.

“Ada. Macam biasa. Datang rumah kami la!”, Bob membalas.

Kami tersenyum.

Biar pun ahli kumpulan nasyid kami bertebaran, terpisah di kampus-kampus yang jarak antara satu sama lain mencecah 200km, pertemuan untuk berlatih nasyid sememangnya ditunggu-tunggu. Jarang sekali saya berasa keberatan untuk datang ke sesi latihan, biar pun terpaksa menggendong buku rujukan dan nota peperiksaan.

“Nasyid, nasyid juga. Lepas ni nak makan apa?”, tanya Syamsul.

“Ala, habis ni nanti, kita makan di Math’am Shami pun ok”, Jat membalas.

Ada masanya kami singgah makan di kedai. Tetapi selalunya, ketika kami sibuk berlatih, ada sebahagian ‘penyokong’ yang sudi memasak. Apa susah, dua ekor ayam masak kari susu (santan terlalu mewah untuk kami), kobis tumis, dan nasi 4 talam. Perfect!

Sesi latihan nasyid kami bukan sebarangan.

Boleh dikatakan, setiap kali sesi latihan untuk satu persembahan berlangsung, pasti ada lagu baru. Sekurang-kurangnya satu, biasanya dua atau tiga. Entah dari mana curahan inspirasinya, saya dan rakan ketika itu sungguh prolifik. Hampir setiap masa, di dalam kepala saya sarat dengan bahan mencipta lagu. Sama ada ia irama, mahu pun senikata, sebuah nasyid boleh tercipta ketika saya melangkah batas-batas kebun di antara rumah dan masjid di Mazar.

Dalam serba kekurangan, walkman yang mempunyai perakam, adalah teman setia untuk menyelamatkan ‘ilham’ dari terbang dibawa angin.

LAGU SENDIRI

Pantang benar rasanya membuat persembahan dengan menyanyikan lagu orang lain!

Kami berusaha sedaya upaya untuk menyediakan lagu baru di dalam setiap persembahan. Andaikata jumlahnya tidak mencukupi, nasyid kumpulan lain yang kami pilih, mestilah sehati sejiwa dengan aspirasi kami. Lazimnya, kami melihat Usrah al-Wadi di Mesir sebagai rakan seperjuangan, maka nasyid merekalah yang mencelah-celah nasyid ciptaan kami sendiri.

Nasyid kami tersendiri.

Tumpuan tidak sekadar pada rentak irama, tetapi lebih kepada senikata yang penuh cerita. Malah, dalam banyak-banyak nasyid yang kami persembahkan, tidak kurang yang mencetuskan kontroversi. Lazimnya, telinga yang tersinggung dengan nasyid kami adalah dari kalangan mereka yang duduk di bangku selesa semasa berada di dalam majlis kami. Sama ada bangku selesa itu diperolehi kerana statusnya sebagai ’senior’, ‘pemimpin pelajar’ atau apa sahaja, mahu pun kerana beliau seorang ‘Perdana Menteri’!

Ya, mengapa tidak?

JEMPUTAN LUAR BIASA

Masih jelas di ingatan pada tahun 1994, kami dijemput oleh Dato’ Abdul Hayy al-Majali yang ketika itu merupakan Konsulat Kehormat Malaysia di Jordan untuk membuat persembahan ‘live‘ di kediaman rasmi beliau. Tujuannya, adalah untuk meraikan rombongan Perdana Menteri Malaysia yang berkunjung ke Jordan!

Aha… kami dikehendaki membuat persembahan di hadapan Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad dan rombongan. Rafidah Aziz, Wan Mokhtar Wan Ahmad, Muhammad Muhammad Taib dan ramai lagi… bakal disajikan dengan ‘nasyid perjuangan kami’!

Permintaan Dato’ Abdul Hayy al-Majali itu sangat spontan. Kami hanya diberi masa sejam untuk membuat persiapan.

konsul.jpg
Bergambar bersama PM Malaysia dan PM Jordan selepas membuat persembahan

“Wei, lagu apa nak nasyid ni?”, kami bertanya sesama sendiri.

“Nyanyi nasyid biasalah. Kenapa mesti lain?”, kata Azri yang menjadi tauke gendang kami.

“Orait. Salam Muhibbah sebuah, penutupnya Tetamu Dataran Syam. Pandai-pandailah ana nak ubah lirik nanti!”, saya memberikan persetujuan.

TIDAK BERGANJAK

Semasa kami membuat persembahan, rombongan PM ketika itu begitu asyik mendengar. Saya terasa geli hati melihat Rafidah Aziz beriya-iya bertepuk tangan mengikut rentak nasyid kami. Mungkin tak terpedulikan lirik kami, gendang itu hanya didengari seperti ‘joget arab’!

Pusingan pertama, selesai dengan baik. Kami meneruskan persembahan dengan lagu kedua…

Tetamu Dataran Syam, engkaulah harapan. Untuk ummah melihat masa depan. Sebagai ulama’, sebagai pejuang. Islam pasti akan kau merdekakan!“, saya menghabiskan bait-bait nasyid Tetamu Dataran Syam.

Saya terkejut melihat PM berhenti mengunyah. Jika tadi beliau hanya menundukkan mukanya, tidak bersorak seperti rombongan yang lain, tiba-tiba sahaja beliau meletakkan sudu dan garpu lantas terus memberikan perhatian kepada persembahan kami.

Saya terus bernasyid seperti biasa.

Selesai bernasyid, kami disediakan dengan meja khas untuk makan minum tidak jauh dari meja rombongan PM ketika itu.

“Ok ke persembahan kita tadi?”, saya kurang pasti.

“Ok. Ok punya. Tak nampak ke Rafidah Aziz bertepuk tangan tadi?”, kata Erfino kepada kami.

Malam itu, sungguh nostalgia buat kami semua. Saya juga berasa puas dapat menyampaikan isi hati saya tanpa segan silu di hadapan Perdana Menteri Malaysia dan rombongan.

TERUS BERKARYA

Dua tahun selepas itu, rentak kami masih bertahan. Biar pun tenaga-tenaga pengasas Usrah al-Firdaus seperti Ustaz Erfino, Ustaz Bob, Ustaz Majdan Alias serta yang lain-lain telah menamatkan pengajian dan pulang ke tanah air, kami sebagai generasi kedua masih terus berkarya. Latihan nasyid masih rancak, dan nasyid baru masih terus dihasilkan hingga dua album selesai kami hasilkan.

Album itu bukan album suka-suka. Ia adalah hasil karya kami sendiri, dengan modal yang dikeluarkan oleh para ‘peminat’, khususnya srikandi muslimat yang komited dan penuh yakin dengan keupayaan kami. Ribuan Dollar Amerika dikumpul untuk menampung penghasilan dua album kami, iaitu Gemilang pada tahun 1995 dan Dunia Ini pada tahun 1996.

Tetapi langit tidak selalu cerah.

TIDAK DISENANGI

Semakin usia saya bertambah, senikata dan idea yang tersuntik ke dalam nasyid ciptaan saya menjadi semakin pelik dan tajam. Ia makin menimbulkan rasa tidak selesa banyak pihak.

Layakkah engkau memimpin manusia, jika dunia kita dirasai seakan sudah sempurna membunuh persaudaraan!“, semasa menyampaikan nasyid Hari Raya Hari Kemaafan itu, saya menyampaikan rangkap ini dengan menumpukan perhatian kepada wajah para senior yang bertaraf pemimpin.

Mesej saya tidak susah untuk difahami. Saya tidak suka dengan perlakuan ‘ustaz-ustaz’ skema yang memencilkan golongan yang diistilahkan ketika itu sebagai ‘puak liberal’. Janganlah dibahaskan konotasi istilah itu, kerana apa yang saya maksudkan di dalam nasyid tersebut adalah mereka yang mahu menjadi pemimpin, jiwanya mesti jiwa integrasi dan engagement, bukan pemencilan, menghukum dan mengkesampingkan golongan yang tidak sekepala atau serasa.

Di sana sahabat dan juga teman, telah kautinggalkan. Didorongi berlainan pemikiran juga cara kehidupan!“, saya melengkapkan pakej kontroversi nasyid tersebut.

Wajah-wajah kelat di bawah pentas memahamkan bahawa saya berdepan dengan masalah. Tetapi entah di mana puncanya, masalah itu mendatangkan kepuasan! Mungkin itu kelakuan biasa golongan ‘anti establishment‘.

KOMERSIL

Semasa album ketiga yang merupakan kompilasi nasyid-nasyid Aidilfitri mahu dihasilkan, lagu ciptaan saya mengalami penapisan. Oleh kerana The Zikr dan Nadamurni sudah muncul sebagai Raihan, Hijjaz dan Rabbani, maka arus mengkomersilkan nasyid mula melanda.

Lirik-lirik ciptaan saya diubah suai tanpa persetujuan saya.

scan0012.jpg

Selepas sebulan bercuti di Turki mengumpul bahan kajian, saya pulang ke Jordan dan berasa amat terkejut apabila nasyid ciptaan saya telah selesai dirakam di studio dengan lirik yang telah ditukar, demi membuang kontroversi dan menyedapkan telinga semua pihak.

Di sana sahabat dan juga teman, jangan kau tinggalkan. Amalkanlah cara hidup bersaudara serta berkasih sayang!“, telinga saya luka mendengar lirik baru ini. Bukan sahaja mesej asalnya diubah, malah kualiti dan susun bahasanya juga menjadi caca merba.

Saya mengambil langkah drastik berhenti dari dunia nasyid dan terus menyepikan diri. Semenjak keluarnya album Bingkisan Aidilfitri, saya berhenti dari membuat persembahan, malah hilang idea untuk mencipta lagu baru.

Rupa-rupanya ketika itu saya prolifik kerana nasyid menjadi wasilah saya menyalurkan jiwa yang memberontak. Pemberontakan itu menjadikan jiwa dan senikata ada sasaran dan bukan kata-kata penyedap telinga semata. Tetapi apabila pemberontakan dihapuskan dari nasyid, unsur komersil disuntik untuk menyedapkan telinga pendengar… segala-galanya hambar, dan saya lebih rela menjadi penagih nasyid Turki dan Arab, berbanding meminati nasyid Melayu yang terus layu.

GIG

“Tahun ini adalah tahun lagu underground!”, komen seorang peminat ketika mengulas kemenangan kumpulan Estranged di dalam Juara Lagu baru-baru ini.

Biar pun saya tidak menyokong budaya tidak senonoh dan pergaulan bebas dalam gig kumpulan underground yang banyak di dalam masyarakat kita hari ini, saya berlapang dada untuk membuka ruang memahami apa mesej mereka. Dan kerana itu saya tahu bahawa kumpulan-kumpulan itu sangat prolifik, tulus dalam muzik mereka, dan mampu berdikari dalam menghasilkan lagu serta album, kerana mereka memiliki ciri yang sama dengan kami, biar pun dalam genre dan budaya yang berbeza.

Pertama, kami menolak unsur-unsur komersil.

Kedua, lagu kami adalah pemberontakan.

Apabila gig kumpulan underground itu mula menjamah nilai komersil, mereka akan menjadi sampah, sebagaimana sampahnya kebanyakan nasyid hari ini.

Dalam dunia karya, hanya jiwa yang memberontak sahaja, tulus dalam pengucapan mereka!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

NASYID KONTEMPORARI HILANG ARAH

Saya telah dijemput oleh Ketua Editor majalah Dewan Masyarakat untuk mengemukakan pandangan tentang hala tuju nasyid masa kini. Jemputan itu diterima sehari sebelum saya bertolak ke Ireland akhir tahun 2006 baru-baru ini. Ia merupakan tajuk yang sering hinggap di fikiran saya. Fikiran yang semakin caca merba setiap kali cuba mengintai perkembangan ‘cabang seni Islam’ di negara kita ini. Lebih tenang bagi saya untuk mengikuti perkembangan muzik Islam di Ireland dan England, berbanding sentuhan anak watan sendiri yang musykil lagi membingungkan.

Artikel telah pun disiapkan dan maklum balas awal yang saya terima, editor menyatakan bahawa idea saya kontra dengan kebanyakan orang lain, yang ditemuramah oleh Dewan Masyarakat, dan yang menyumbangkan artikel di bawah tajuk yang sama. Isu ini akan diterbitkan untuk majalah Dewan Masyarakat keluaran Februari 2007 akan datang.

Sungguh jelek, apabila sebuah kumpulan nasyid ’sopan’ semasa mengadakan konsert, telah menyeru kepada penonton agar tidak menggunakan ‘lighter’, kerana takut terbakar. Beliau meminta supaya peminatnya menggunakan handphone. Mulanya sukar untuk difahami permintaan itu, kerana siarannya hanya dengan suara di radio Islam negara kita. Rupa-rupanya, beliau menyeru penonton agar mengangkat tangan sambil menghayun-hayunkan handphone sebagai tradisi konsert. Lupa seketika saya kepada definisi nasyid dan tujuannya wujud di alam ini.

Berikut adalah artikel saya yang disiarkan di dalam Majalah Dewan Masyarakat keluaran Februari 2007, namun di sini adalah versi tanpa edit.

NASYID KONTEMPORARI HILANG ARAH?

pujipujian.jpg

Sedekad sudah berlalu semenjak kemunculan album pertama kumpulan nasyid Raihan ”Puji-pujian” pada tahun 1996. Ia menjadi fenomena kerana berjaya melakukan anjakan paradigma seluruh masyarakat terhadap identiti nasyid sebagai salah satu cabang seni persembahan. Sambutan yang diterima amat menggalakkan bahkan mengatasi populariti bintang-bintang yang sedia ada, melalui penjualan album yang mencecah 650,000 unit dalam tempoh beberapa bulan, dan sehingga kini mencecah lebih 1 juta. Angka ini menjadikan album ”Puji-pujian” sebagai album terbaik di sepanjang sejarah penghasilan album di negara kita dari segi penjualan rekod.

Semenjak kemunculan Raihan, pelbagai lagi kumpulan nasyid muncul. Hingga ke suatu ketika, genre nasyid menjadi teraju utama kepada arus muzik di negara kita. Ia sama sekali telah mengubah banyak aspek yang lazimnya dikaitkan dengan album nasyid sebelumnya. Jika dahulu, album nasyid hanya dijual di gerai-gerai ceramah agama, toko buku Islam dan pasar-pasar malam, kini nasyid sudah pun berjaya menempatkan diri di premis-premis penjualan album utama, di bawah kelolaan syarikat pemasaran bertaraf antarabangsa.

Perkembangan yang dialami oleh seni nasyid di Malaysia mengalami pasang surutnya. Bukan sahaja dari aspek penerimaan masyarakat kepada album nasyid melalui penjualan album, malah kepelbagaian bentuk nasyid juga semakin berwarna-warni hingga timbul pelbagai persoalan di sekitar hala tuju dan masa depan nasyid di negara kita.

Setengah dekad yang pertama semenjak kemunculan Raihan dan yang seangkatan dengannya, nasyid dilihat sebagai suatu bentuk ekspresi seni yang mempunyai identitinya yang tersendiri. Irama nasyid Malaysia menggabungkan elemen Timur Tengah dan Nusantara, menghasilkan kombinasi yang indah serta menepati bahasa jiwa dan perasaan pendengarnya. Sebagaimana lagu-lagu Islam di Turki, negara Arab, Pakistan dan Iran memakai pakaian budaya tempatan, begitu juga di Malaysia. Nasyid Malaysia mempunyai mempunyai identiti dan membentuk genre yang tersendiri.

Selepas menempuh perjalanan masa, unsur yang lebih asing mula menyerap masuk ke dalam pengungkapan irama nasyid Malaysia. Jika dahulu, kebanyakan nasyid menampilkan rentak, lirik dan persembahan yang dekat dengan kemelayuan persekitarannya, kini unsur-unsur yang lazimnya dikaitkan dengan budaya Barat mengambil alih hingga akhirnya menghasilkan ’nasyid kontemporari’ yang bernada raggae, blues, hiphop dan rock.

MENCARI KELAINAN

Perubahan yang sedemikian sedemikian rupa, berlaku atas beberapa faktor. Antaranya adalah soal desakan untuk menghasilkan kelainan. Setiap album nasyid yang mahu dipertaruhkan di pasaran, perlu berhempas pulas memikirkan elemen baru dan unik, demi untuk menggarap perhatian pendengar dan seterusnya diterjemahkan dalam pencapaian penjualan album yang memberangsangkan. Unsur stereotaip pada irama nasyid, dikhuatiri akan menyulitkan persaingan. Kelainan dan unik, adalah kunci penting untuk survival mana-mana sahaja artis di dalam penghasilan setiap album baru mereka.

MEDIUM MESEJ ISLAM

Selain faktor desakan strategi pemasaran, nasyid tidak lari dari terus dianggap sebagai wadah untuk mesej Islam disampaikan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Perubahan selera masyarakat di dalam cita rasa seni mereka, diambil oleh kumpulan-kumpulan nasyid kontemporari sebagai faktor yang menuntut mereka agar turut berubah dan mengejar trend masyarakat. Dengan cara itu, nasyid boleh tampil dengan imej yang lebih dekat dengan remaja. Dalam erti kata yang lain, perubahan irama nasyid hari ini, dianggap sebagai justifikasi dakwah yang hikmah. Apa yang dimaksudkan dengan hikmah itu adalah mengungkapkan mesej Islam dalam bentuk yang menepati sasaran dakwah, iaitu pendengar nasyid. Nasyid kontemporari dengan genre hiphop dan rock ditujukan sebagai dakwah kepada generasi muda yang hiphop dan rock.

Akan tetapi, kepelbagaian irama nasyid kontemporari ini masih terus menimbulkan perbagai persoalan yang wajar diberi perhatian. Sekurang-kurangnya terdapat dua persoalan utama yang menuntut analisa secara mendalam iaitu:

1. Sejauh manakah nasyid di Malaysia hari ini terus relevan sebagai medium dakwah Islam kepada masyarakat?
2. Sejauh manakah nasyid di Malaysia ini boleh menjadi sebahagian daripada apa yang dinamakan sebagai seni bunyi dan muzik Islam?

NASYID SEBAGAI MEDIUM DAKWAH

Apabila nasyid diperkatakan sebagai medium dakwah, peranannya telah dimainkan dalam konteks itu seawal tahun 80’an dengan kemunculan kumpulan nasyid seperti Nadamurni yang dahulunya bernaung di bawah pergerakan kumpulan al-Arqam. Walaupun sebahagian daripada lagu nasyid yang dihasilkan merupakan mesej dan kepercayaan yang dipegang di dalam perjuangan kumpulan al-Arqam itu sendiri, secara umumnya album-album Nadamurni diterima sebagai sebahagian daripada penyumbang kepada kesedaran dan kebangkitan Islam di tahun-tahun 80’an dan 90’an. Konsert-konsert nasyid Nadamurni sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat. Malah di era itu, Nadamurni berupaya untuk menembusi kelab-kelab malam dan berganding dengan penyanyi popular, membawa suara Islam ke suatu tempat yang hampir mustahil untuk ditembusi oleh pendakwah biasa. Peranan Nadamurni yang berdakwah menerusi nasyid, turut sama diperkayakan oleh kemunculan album-album nasyid lain seperti album Grup Aspirasi Seni dan nasyid-nasyid Abu Ratib yang diterbitkan semula oleh Pustaka Salam. Begitu juga dengan kemunculan kumpulan nasyid dari kalangan mahasiswa tanah air dan luar negara, khususnya kumpulan Sinaran Azhar. Begitu juga Usrah Al-Wadi yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Namun, skop pendengar dan peminat kepada nasyid di era ini terhad kepada pelajar-pelajar di sekolah agama, dan mereka yang terbabit secara langsung di dalam lapangan dakwah. Nasyid di era ini lebih berperanan sebagai hiburan alternatif bagi golongan ’agama’ dan ’dakwah’. Ia bukan untuk santapan massa.

Hanya dengan kemunculan album Raihan pada tahun 1996 sahajalah, dimensi ini mengalami perubahan dan nasyid buat pertama kalinya berpeluang muncul di media-media siar negara kita dan sampai kepada skop pendengar dan peminat muzik yang lebih luas tanpa sempadan. Lirik nasyid mula mengalami perubahan. Jika sebelumnya, kebanyakan nasyid memperkatakan tentang aspek-aspek perjuangan dan jihad, malah isu-isu semasa umat Islam seperti isu Palestin, Kashmir dan Bosnia, lirik nasyid pasca album ’Puji-pujian’ mula terbuka kepada memperkatakan tentang subjek yang lebih umum dan boleh dihayati oleh ’orang awam’.

Jika nasyid didefiniskan sebagai medium dakwah, maka ia sangat bergantung kepada faktor manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna dakwah adalah intepretasi seorang Da’ie terhadap apa yang beliau sendiri faham tentang mesej agamanya.

Jika nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik dan lagu, tetapi ia sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui keperibadian penyampainya.

Sama ada nasyid tradisional mahu pun yang kontemporari dengan genre hiphop dan rock, latar belakang dan syakhsiah penasyid akan tetap menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat tentang sejauh mana relevannya dakwaan nasyid itu sebagai medium dakwah.

Apabila nasyid menjinakkan dirinya kepada genre hip hop, rap pop malah rock, apakah perubahan itu hanya membabitkan perubahan genre lagu, atau genre kehidupan penasyid itu sendiri?

Lagu Islam yang datang dari masyarakat hip hop, berbeza dengan lagu Islam yang datang dari masyarakat yang mengimitasi hip hop.

Penghasilan irama hip hop bagi penasyid dari kalangan kaum Muslimin Afro-Amerika di Amerika Syarikat, Kanada dan Britain, tidak diragui bahawa mereka telah berjaya menepati maksud hikmah di dalam dakwah. Kejayaan ini adalah dengan mengambil kira hip hop sebagai budaya masyarakat setempat. Masyarakat Afro-Amerika berfikir dan berkomunikasi dengan genre hip hop, rap dan raggae. Oleh yang demikian, menyampaikan mesej dakwah melalui lagu hip hop, rap dan raggae adalah sangat menepati maksud hikmah di dalam dakwah.

Maka, penasyid seperti Mustaqim Sahir di dalam albumnya ’Upright Song’ telah berjaya mengungkapkan mesej Islam dengan begitu baik, menepati sasaran komuniti Afro-Amerika di Amerika Syarikat dan dunia umumnya. Tidak ketinggalan, nama-nama seperti Native Deen, Aashiq al-Rasul (AAR) dan Amän,

Hip hop dalam konteks ini, tidak berbeza dengan nasyid negara Arab. Penasyid Arab seperti Abu Ratib dan Imad Rami mengekalkan genre lagu tempatan bersesuaian dengan bahasa jiwa pendengar yang disasarkan.

Mereka ber’cakap’ di dalam nasyid dengan bahasa pendengar. Bukan hanya bahasa lisan, tetapi juga bahasa pemikiran.

Hal yang sama lebih ketara apabila kita melihat kepada penyanyi genre Ilahi atau Aşık, iaitu istilah yang ditujukan kepada nasyid-nasyid Islam yang klasik di Turki. Lebih 1/3 daripada penduduk Turki merupakan golongan yang dekat dengan tradisi sufism, maka pengungkapan mesej Islam di dalam irama yang mengikut disiplin Ilahi atau Aşık, lebih memudahkan masyarakat untuk menjiwai mesej dakwah yang ingin disampaikan.

Nasyid yang terbit dengan genre budaya masyarakat setempat adalah lebih konsisten dan seterusnya efektif di dalam melaksanakan fungsinya sebagai medium dakwah.

Akan tetapi, apabila penasyid di Malaysia mengubah cita rasa nasyid tempatan kepada irama hip hop, R&B dan yang seumpama dengannya, sejauh manakah peralihan ini menepati maksud dakwah?

Jika ada yang mahu mendekati remaja dengan memperkenalkan nasyid hip hop, apakah genre hip hop di kalangan remaja kita, merupakan suatu budaya dan pemikiran, atau keseronokan dan selera sementara yang datang dan pergi?

Jika mereka memilih hip hop kerana minat, maka tidak mungkin mereka mahu kehidupan mereka diganggu oleh ’nasyid hip hop’ yang mencelah.Remaja kita yang meminati hip hop, mereka tidak sampai kepada tahap berbudaya dan berfikir secara hip hop. Ia hanya sebuah trend.

Mungkin kerana ini, ’nasyid hip hop’ Malaysia sukar menempatkan diri sama ada di dalam kategori nasyid, mahu pun di dalam kategori hiphop itu sendiri.

Di dalam dunia hip hop, nasyid hip hop dipersoalkan ketulennya. Apakah ia hip hop atau pseudo hip hop?

Kita mesti bezakan di antara penyanyi hip hop yang mendapat kesedaran Islam lantas menyatakan kesedaran itu melalui hip hopnya, berbanding dengan penyanyi nasyid yang konservatif, mendapat ’kesedaran hip hop’ lantas meninggalkan imej penasyidnya dan menonjolkan perubahan dari nasyid kepada hip hop. Bukan hanya genre yang diubah, malah syakhsiah turut menimbulkan gelisah.

Manakala di kalangan peminat nasyid yang lebih ’konservatif’, tentunya mereka sukar untuk menerima kehadiran nasyid sebegini. Mereka akan terus mencari nasyid sebenar!

Istilah ’nasyid sebenar’, mengundang kita kepada persoalan kedua. Apakah maksud kepada istilah ’nasyid sebenar’? Bagaimanakah ia didefinisikan?

Soalan ini penting kerana jawapannya akan menentukan sama ada nasyid yang kita hasilkan di Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai cabarang SENI atau tidak?

NASYID SEBAGAI CABANG SENI ISLAM

Apabila sesuatu hasil karya mahu diangkat sebagai cabang seni, ia mestilah terbit dari disiplin dan dasar yang tertentu. Jika suatu bentuk cara menulis diangkat sebagai seni, maka tulisan itu mestilah mematuhi garis panduan yang tertentu di dalam proses penulisan. Andai suatu bentuk rekaan binaan mahu diangkat sebagai seni, sudah pasti ia direka bina berpandukan kepada ilmu yang mendasari seni berkenaan.

Inilah yang menjadi dilema kepada nasyid di Malaysia. Apakah foundation kepada nasyid kita?
Umumnya nasyid di Malaysia berkembang tidak dalam bentuk suatu seni yang dipelajari. Malah kemunculan kumpulan nasyid di Malaysia banyak bergantung kepada minat dan bakat menyanyi yang ada. Akan tetapi, sejauh manakah penghasilan ’seni’ mereka disandarkan kepada ilmu dan disiplin?

Paling tidak, berapa ramai penasyid, sama ada penyanyinya, atau yang lebih utama para pencipta lagu nasyid, mempunyai pengetahuan di dalam bidang muzik Islam. Mampukah mereka membaca nota lagu?

Seni, didefinisikan oleh Brittanica Online sebagai ”penggunaan skil dan imaginasi dalam penghasilan objek, persekitaran dan pengalaman estetik (indah) yang boleh dikongsi bersama orang lain”. Dalam erti kata yang lain, seni menuntut kepada penghasilan mutu kerja yang indah berasaskan kepada kemahiran dan imaginasi.

Kemahiran terhadap seni muzik Islam, adalah disiplin yang telah sedia wujud di dalam tradisi Islam. A. Shiloah di dalam artikelnya bertajuk ”The Dimension of Sound” (The World of Islam – diedit oleh Bernard Lewis) membayangkan bahawa disiplin seni Islam berasal usul daripada teknik melagukan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, laungan azan dan tradisi fazzãziyyãt dan mawlid itu sendiri. Irama yang dialunkan mempunyai maqam yang tertentu dan keindahan irama yang bersistem ini, dioptimumkan pula oleh pengungkapan lirik yang indah, lazimnya menerusi syair-syair yang kaya dengan nilai estetika.

Kepatuhan terhadap disiplin seni inilah kunci kepada penghasilan seni muzik Islam yang bermutu tinggi. Seni muzik Islam bukan sahaja mampu berperanan sebagai medium dakwah yang berkesan, malah turut diterima sebagai sumbangan Islam kepada kesenian dan tamadun dunia.

Malah, kehebatan seni muzik Islam diangkat lebih daripada sekadar hiburan dan santapan emosi. Ia telah dijadikan sebagai instrumen penting kepada teknik merawat pesakit psikiatri, khususnya di era Othmaniyyah Turki, malah seawal zaman Seljuk.

Selepas pembukaan kota Istanbul pada tahun 1453, Sultan Muhammad al-Fatih telah membuka pusat rawatan pesakit psikiatri yang dikenali sebagai Bimarhane-i-Ebulfeth Sultan Mehmed. Di Edirne, pusat rawatan pesakit psikiatri telah dibina sebagai sebahagian daripada kompleks Masjid Sultan Bayazid II dan terus digunakan sehingga tahun 1915. Pesakit dirawat dengan menggunakan teknik muzik Turki yang harmoni, di mana pemuzik akan memetik nota tertentu dan reaksi pesakit direkod. Nota-nota muzik yang menerima reaksi pesakit akan digunakan untuk mencipta lagu khas yang diperdengarkan kepada pesakit itu tadi dari semasa ke semasa.

Prof. Dr. Ayhan Songar yang mengkaji hal ini menegaskan bahawa, rawatan dengan menggunakan muzik Barat yang berteraskan kepada matematik yang jumud, tidak dapat menghasilkan kesan sebagaimana seni muzik Turki yang lebih fitrah. Ini menjadi bukti bagaimana, ada alunan muzik yang merawat emosi, dan ada juga yang mengundang penyakit jiwa!

Hal inilah yang sepatutnya menjadi fokus kepada penasyid yang serius mahu menyumbang kepada pembangunan seni muzik Islam. Penyanyi nasyid kontemporari seperti seperti Sami Yusuf, sangat memberikan penekanan kepada hal ini. Beliau mengungkapkan nasyid-nasyidnya dengan asas ilmu seni yang tinggi. Mungkin kerana tidak mahu dibayangi oleh imej kebanyakan nasyid semasa, beliau lebih suka dikenali sebagai ”pemuzik yang berjiwa Islam dan menjadikan Islam sebagai sumber karyanya” dan bukannya sebagai penasyid.

Sebagaimana seorang pendakwah yang menulis perlu belajar selok belok teknik penulisan yang berkesan, atau pendakwah yang berpidato perlu belajar seni pidato yang baik, maka begitulah juga pendakwah yang berdakwah melalui nasyid, mestilah menempuh proses yang sama, menjadikan nasyid sebagai suatu bidang yang ada disiplin tertentu dan bukan hanya didendangkan sesedap rasa.

Jika di negara seperti Turki, seni muzik Islam menjadi subjek yang dipelajari oleh pelajar fakulti Teologi (Ilahiyat) secara teori dan praktikal. Maka, nasyid-nasyid mereka muncul dengan kualiti seni yang tinggi kerana penasyid-penasyid utamanya sendiri, adalah terdiri daripada ilmuan di dalam seni muzik Islam seperti Mehmed Emin Ay dan Mustafa Demirci. Penasyid dan peminat nasyid, masing-masing mengangkat kualiti nasyid berasaskan kepada tradisi seni muzik Islam yang tinggi dan ’evergreen’.

Dari situlah, nasyid akan memperolehi definisi yang konsisten sehingga istilah ’nasyid sebenar’ akan mendapat maksud yang lebih jelas dan tepat.

Berbalik kepada nasyid sebagai medium dakwah, maka ia bolehlah diumpamakan sebagai iklan bagi produk yang ingin dipasarkan. Nasyid adalah iklan yang mempromosikan Islam, Allah dan Rasul, agar dekat, dikenali dan diterima oleh masyarakat. Maka, elemen yang perlu ditonjolkan di dalam nasyid itu mestilah subjek dakwah yang mahu disampaikan. Sebuah iklan komersil boleh dianggap sebagai iklan yang berjaya, jika produk yang diiklankan berjaya terjual dengan baik. Namun, sebuah iklan tetap merupakan iklan yang gagal, jika persembahannya hanya mempopularkan pelakon iklan, tetapi produk yang diiklankan tidak terjual. Nasyid yang hanya tertumpu kepada penasyid dan lemah dalam pengungkapan dakwahnya, lantas gagal membentuk trend masyarakat untuk seterusnya menerima Allah, Rasul dan Islam dalam kehidupan, adalah nasyid yang gagal mencapai maksud.

Tegasnya, nasyid mestilah berupaya bertindak sebagai pencorak, dan bukannya tenggelam oleh trend masyarakat yang berubah-ubah dari semasa ke semasa. Lantas nasyid hip hop dan yang seumpama dengannya, mempunyai banyak ruang muhasabah yang perlu difikirkan bersama.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com