>ikatan UKHUWWAH bukanlah sesuatu yang dapat dibeli dengan harta > Tetapi ia merupakan roh yang dihidupkan ALLAH dalam hati-hati orang yang beriman > apabila DIA mengkehendakinya agar mereka dekat dan bersatu>

SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN KUMPULAN NASYID UKHUWWAHFILLAH

Pada tahun 2002, suasana nasyid di Universiti Malaysia Sabah tidak berapa menonjol bagi masyarakat kampus. Atas dasar kesedaran ingin berdakwah maka salah seorang anggota kumpulan nasyid UkhuwwahFillah yang terawal iaitu saudara Bunyamin telah membentuk kumpulan yang terdiri daripada 8 orang dengan senior UMS.

Pada masa tersebut pengaruh kumpulan Inteam amat kuat kepada mahasiswa di universiti. Banyak pertandingan yang telah diikuti di peringkat kampus dan kumpulan nasyid kami pernah menjadi naib johan dalam pertandingan nasyid sempena pesta konvokesyen UMS ke-4. Namun ahli kumpulan ini tidak kekal kerana ada yang menjadi graduan awal.

Sehinggalah pada tahun 2005 ahli kumpulan bertukar orang dengan kemasukan junior baru dalam UMS. Semangat yang kuat untuk menubuhkan kumpulan nasyid dengan matlamat yang sama iaitu dakwah membolehkan kumpulan kami kekal hingga ke hari ini dengan anggota seramai 5 orang.


Profil Ahli Kumpulan

1. Nama : Mohd Ijhad Bin Duddin

Asal : Sandakan, Sabah

Umur : 24 Tahun

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Dengan Sastera (Ekonomi), UMS

2. Nama : Mohd Salleh Bin Ambo

Asal : Lahad Datu, Sabah

Umur : 22 Tahun

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Dengan Sains (Matematik), UMS

3. Nama : Bunyamin Bin Bakri

Asal : Sandakan, Sabah

Umur : 26 Tahun

Pendidikan : Ijazah Sarjana (Kualiti Air Sungai), UMS

4. Nama : Muhammad Amirul Ariffuddin Bin Zailani

Asal : Bangi, Selangor

Umur : 23 Tahun

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda (Fizik Elektronik), UMS

5. Nama : Mohd Zhafran Bin Mohd Zainuldin

Asal : Tanjung Karang, Selangor

Umur : 23 Tahun

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda (Bioteknologi), UMS


Alhamdulillah, dengan keazaman yang kuat kumpulan kami telah menjadi Johan dalam Pertandingan Nasyid sempena pesta konvokesyen UMS kali ke-6 dan naib Johan pada pesta Konvokesyen kali ke-7.

Peluang untuk menyampaikan lagu-lagu nasyid terus terbuka kepada masyarakat kampus apabila kumpulan kami pernah dijemput untuk membuat persembahan dalam majlis-majlis rasmi universiti seperti Forum Perdana Ehwal Islam, sambutan Hari Raya, Pertandingan Debat, Festival Kesenian Islam, Sambutan Maal hijrah, Pesta Tamu Gadang sempena Majlis Konvokesyen, Jamuan Perpisahan Kolej Kediaman dan beberapa majlis di peringkat sekolah serta NGO.

Kebanyakkan lagu yang kami persembahkan adalah lagu-lagu daripada kumpulan inteam sendiri kerana mengambil kira suasana kampus yang terdiri daripada kalangan remaja dan dewasa. Pengalaman paling manis apabila kami diberi peluang untuk membuat persembahan bersama Abang Nazrey Raihan dalam konsert Mutiara kasih di UMS dan beberapa daerah di Sabah seperti Kota Merudu, Beufort dan Penampang.

Sedikit tunjuk ajar daripada Abang Nazrey Raihan menaikkan lagi semangat kami untuk cuba membuat album sendiri kerana tidak mahu terus bergantung dengan lagu-lagu kumpulan nasyid yang sedia ada dengan harapan membawa suasana baru di negeri Sabah khususnya dalam berhibur. Ukhuwwah Fillah terus mara ke hadapan apabila diberi kepercayaan berganding dengan artis nasyid seperti Suhaimi dan Devotees di Festival Kesenian Islam UMS 2008.

Friday, April 11, 2008

MENJIWAI PEMBERONTAKAN DI DALAM NASYID

studio-gemilang.jpg

“Ada ke latihan nasyid hujung minggu ni?”, saya bertanya.

“Ada. Macam biasa. Datang rumah kami la!”, Bob membalas.

Kami tersenyum.

Biar pun ahli kumpulan nasyid kami bertebaran, terpisah di kampus-kampus yang jarak antara satu sama lain mencecah 200km, pertemuan untuk berlatih nasyid sememangnya ditunggu-tunggu. Jarang sekali saya berasa keberatan untuk datang ke sesi latihan, biar pun terpaksa menggendong buku rujukan dan nota peperiksaan.

“Nasyid, nasyid juga. Lepas ni nak makan apa?”, tanya Syamsul.

“Ala, habis ni nanti, kita makan di Math’am Shami pun ok”, Jat membalas.

Ada masanya kami singgah makan di kedai. Tetapi selalunya, ketika kami sibuk berlatih, ada sebahagian ‘penyokong’ yang sudi memasak. Apa susah, dua ekor ayam masak kari susu (santan terlalu mewah untuk kami), kobis tumis, dan nasi 4 talam. Perfect!

Sesi latihan nasyid kami bukan sebarangan.

Boleh dikatakan, setiap kali sesi latihan untuk satu persembahan berlangsung, pasti ada lagu baru. Sekurang-kurangnya satu, biasanya dua atau tiga. Entah dari mana curahan inspirasinya, saya dan rakan ketika itu sungguh prolifik. Hampir setiap masa, di dalam kepala saya sarat dengan bahan mencipta lagu. Sama ada ia irama, mahu pun senikata, sebuah nasyid boleh tercipta ketika saya melangkah batas-batas kebun di antara rumah dan masjid di Mazar.

Dalam serba kekurangan, walkman yang mempunyai perakam, adalah teman setia untuk menyelamatkan ‘ilham’ dari terbang dibawa angin.

LAGU SENDIRI

Pantang benar rasanya membuat persembahan dengan menyanyikan lagu orang lain!

Kami berusaha sedaya upaya untuk menyediakan lagu baru di dalam setiap persembahan. Andaikata jumlahnya tidak mencukupi, nasyid kumpulan lain yang kami pilih, mestilah sehati sejiwa dengan aspirasi kami. Lazimnya, kami melihat Usrah al-Wadi di Mesir sebagai rakan seperjuangan, maka nasyid merekalah yang mencelah-celah nasyid ciptaan kami sendiri.

Nasyid kami tersendiri.

Tumpuan tidak sekadar pada rentak irama, tetapi lebih kepada senikata yang penuh cerita. Malah, dalam banyak-banyak nasyid yang kami persembahkan, tidak kurang yang mencetuskan kontroversi. Lazimnya, telinga yang tersinggung dengan nasyid kami adalah dari kalangan mereka yang duduk di bangku selesa semasa berada di dalam majlis kami. Sama ada bangku selesa itu diperolehi kerana statusnya sebagai ’senior’, ‘pemimpin pelajar’ atau apa sahaja, mahu pun kerana beliau seorang ‘Perdana Menteri’!

Ya, mengapa tidak?

JEMPUTAN LUAR BIASA

Masih jelas di ingatan pada tahun 1994, kami dijemput oleh Dato’ Abdul Hayy al-Majali yang ketika itu merupakan Konsulat Kehormat Malaysia di Jordan untuk membuat persembahan ‘live‘ di kediaman rasmi beliau. Tujuannya, adalah untuk meraikan rombongan Perdana Menteri Malaysia yang berkunjung ke Jordan!

Aha… kami dikehendaki membuat persembahan di hadapan Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad dan rombongan. Rafidah Aziz, Wan Mokhtar Wan Ahmad, Muhammad Muhammad Taib dan ramai lagi… bakal disajikan dengan ‘nasyid perjuangan kami’!

Permintaan Dato’ Abdul Hayy al-Majali itu sangat spontan. Kami hanya diberi masa sejam untuk membuat persiapan.

konsul.jpg
Bergambar bersama PM Malaysia dan PM Jordan selepas membuat persembahan

“Wei, lagu apa nak nasyid ni?”, kami bertanya sesama sendiri.

“Nyanyi nasyid biasalah. Kenapa mesti lain?”, kata Azri yang menjadi tauke gendang kami.

“Orait. Salam Muhibbah sebuah, penutupnya Tetamu Dataran Syam. Pandai-pandailah ana nak ubah lirik nanti!”, saya memberikan persetujuan.

TIDAK BERGANJAK

Semasa kami membuat persembahan, rombongan PM ketika itu begitu asyik mendengar. Saya terasa geli hati melihat Rafidah Aziz beriya-iya bertepuk tangan mengikut rentak nasyid kami. Mungkin tak terpedulikan lirik kami, gendang itu hanya didengari seperti ‘joget arab’!

Pusingan pertama, selesai dengan baik. Kami meneruskan persembahan dengan lagu kedua…

Tetamu Dataran Syam, engkaulah harapan. Untuk ummah melihat masa depan. Sebagai ulama’, sebagai pejuang. Islam pasti akan kau merdekakan!“, saya menghabiskan bait-bait nasyid Tetamu Dataran Syam.

Saya terkejut melihat PM berhenti mengunyah. Jika tadi beliau hanya menundukkan mukanya, tidak bersorak seperti rombongan yang lain, tiba-tiba sahaja beliau meletakkan sudu dan garpu lantas terus memberikan perhatian kepada persembahan kami.

Saya terus bernasyid seperti biasa.

Selesai bernasyid, kami disediakan dengan meja khas untuk makan minum tidak jauh dari meja rombongan PM ketika itu.

“Ok ke persembahan kita tadi?”, saya kurang pasti.

“Ok. Ok punya. Tak nampak ke Rafidah Aziz bertepuk tangan tadi?”, kata Erfino kepada kami.

Malam itu, sungguh nostalgia buat kami semua. Saya juga berasa puas dapat menyampaikan isi hati saya tanpa segan silu di hadapan Perdana Menteri Malaysia dan rombongan.

TERUS BERKARYA

Dua tahun selepas itu, rentak kami masih bertahan. Biar pun tenaga-tenaga pengasas Usrah al-Firdaus seperti Ustaz Erfino, Ustaz Bob, Ustaz Majdan Alias serta yang lain-lain telah menamatkan pengajian dan pulang ke tanah air, kami sebagai generasi kedua masih terus berkarya. Latihan nasyid masih rancak, dan nasyid baru masih terus dihasilkan hingga dua album selesai kami hasilkan.

Album itu bukan album suka-suka. Ia adalah hasil karya kami sendiri, dengan modal yang dikeluarkan oleh para ‘peminat’, khususnya srikandi muslimat yang komited dan penuh yakin dengan keupayaan kami. Ribuan Dollar Amerika dikumpul untuk menampung penghasilan dua album kami, iaitu Gemilang pada tahun 1995 dan Dunia Ini pada tahun 1996.

Tetapi langit tidak selalu cerah.

TIDAK DISENANGI

Semakin usia saya bertambah, senikata dan idea yang tersuntik ke dalam nasyid ciptaan saya menjadi semakin pelik dan tajam. Ia makin menimbulkan rasa tidak selesa banyak pihak.

Layakkah engkau memimpin manusia, jika dunia kita dirasai seakan sudah sempurna membunuh persaudaraan!“, semasa menyampaikan nasyid Hari Raya Hari Kemaafan itu, saya menyampaikan rangkap ini dengan menumpukan perhatian kepada wajah para senior yang bertaraf pemimpin.

Mesej saya tidak susah untuk difahami. Saya tidak suka dengan perlakuan ‘ustaz-ustaz’ skema yang memencilkan golongan yang diistilahkan ketika itu sebagai ‘puak liberal’. Janganlah dibahaskan konotasi istilah itu, kerana apa yang saya maksudkan di dalam nasyid tersebut adalah mereka yang mahu menjadi pemimpin, jiwanya mesti jiwa integrasi dan engagement, bukan pemencilan, menghukum dan mengkesampingkan golongan yang tidak sekepala atau serasa.

Di sana sahabat dan juga teman, telah kautinggalkan. Didorongi berlainan pemikiran juga cara kehidupan!“, saya melengkapkan pakej kontroversi nasyid tersebut.

Wajah-wajah kelat di bawah pentas memahamkan bahawa saya berdepan dengan masalah. Tetapi entah di mana puncanya, masalah itu mendatangkan kepuasan! Mungkin itu kelakuan biasa golongan ‘anti establishment‘.

KOMERSIL

Semasa album ketiga yang merupakan kompilasi nasyid-nasyid Aidilfitri mahu dihasilkan, lagu ciptaan saya mengalami penapisan. Oleh kerana The Zikr dan Nadamurni sudah muncul sebagai Raihan, Hijjaz dan Rabbani, maka arus mengkomersilkan nasyid mula melanda.

Lirik-lirik ciptaan saya diubah suai tanpa persetujuan saya.

scan0012.jpg

Selepas sebulan bercuti di Turki mengumpul bahan kajian, saya pulang ke Jordan dan berasa amat terkejut apabila nasyid ciptaan saya telah selesai dirakam di studio dengan lirik yang telah ditukar, demi membuang kontroversi dan menyedapkan telinga semua pihak.

Di sana sahabat dan juga teman, jangan kau tinggalkan. Amalkanlah cara hidup bersaudara serta berkasih sayang!“, telinga saya luka mendengar lirik baru ini. Bukan sahaja mesej asalnya diubah, malah kualiti dan susun bahasanya juga menjadi caca merba.

Saya mengambil langkah drastik berhenti dari dunia nasyid dan terus menyepikan diri. Semenjak keluarnya album Bingkisan Aidilfitri, saya berhenti dari membuat persembahan, malah hilang idea untuk mencipta lagu baru.

Rupa-rupanya ketika itu saya prolifik kerana nasyid menjadi wasilah saya menyalurkan jiwa yang memberontak. Pemberontakan itu menjadikan jiwa dan senikata ada sasaran dan bukan kata-kata penyedap telinga semata. Tetapi apabila pemberontakan dihapuskan dari nasyid, unsur komersil disuntik untuk menyedapkan telinga pendengar… segala-galanya hambar, dan saya lebih rela menjadi penagih nasyid Turki dan Arab, berbanding meminati nasyid Melayu yang terus layu.

GIG

“Tahun ini adalah tahun lagu underground!”, komen seorang peminat ketika mengulas kemenangan kumpulan Estranged di dalam Juara Lagu baru-baru ini.

Biar pun saya tidak menyokong budaya tidak senonoh dan pergaulan bebas dalam gig kumpulan underground yang banyak di dalam masyarakat kita hari ini, saya berlapang dada untuk membuka ruang memahami apa mesej mereka. Dan kerana itu saya tahu bahawa kumpulan-kumpulan itu sangat prolifik, tulus dalam muzik mereka, dan mampu berdikari dalam menghasilkan lagu serta album, kerana mereka memiliki ciri yang sama dengan kami, biar pun dalam genre dan budaya yang berbeza.

Pertama, kami menolak unsur-unsur komersil.

Kedua, lagu kami adalah pemberontakan.

Apabila gig kumpulan underground itu mula menjamah nilai komersil, mereka akan menjadi sampah, sebagaimana sampahnya kebanyakan nasyid hari ini.

Dalam dunia karya, hanya jiwa yang memberontak sahaja, tulus dalam pengucapan mereka!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

No comments: